Sabtu, 8 Januari 2011

La Tahzan Duhai Ibu(JANGAN MENANGIS IBU)

KHAS BUAT IBU YANG KU CINTAI....
Wahai ibu yang kucintai,
Terima-kasih kerana bersusah-payah cuba melahirkanku. Namun, Allah tidak memberikanmu peluang untuk mencurahkan kasih-sayangmu untukku. Kau tangisi pemergianku saat aku baru sahaja kau lahirkan. Ketahuilah ibuku, kasih-sayang-Nya jauh lebih luas. Anakmu ini sedang bahagia di sisi-Nya. Hapuskanlah air matamu dan ceriakanlah hidupmu.

Ketahuilah duhai ibuku,
Walaupun harapanmu musnah untuk memilikiku di dunia, namun kau akan beruntung di negeri akhirat sana. Tersenyumlah duhai ibuku. Anakmu ini sedang ternanti-nanti kehadiranmu dan juga ayah untuk bertemu di taman syurga. Pujuklah hatimu dengan motivasi Rasulullah s.a.w. dalam satu hadis qudsi:

"Allah s.w.t. berfirman pada hari kiamat kepada anak-anak: "Masuklah kalian ke dalam syurga!" Anak-anak itu berkata: "Ya Rabbi (kami menunggu) hingga ayah ibu kami masuk." Lalu mereka mendekati pintu syurga tapi tidak mahu masuk ke dalamnya. Allah berfirman lagi: "Mengapa Aku lihat kalian enggan masuk? Masuklah kalian ke dalam syurga!" Mereka menjawab: "Tetapi (bagaimana) orang tua kami?" Allah pun berfirman: "Masuklah kalian ke dalam syurga bersama orang tua kalian."
(Hadits Qudsi Riwayat Ahmad dari Syurahbil bin Syua'ah yang bersumber dari sahabat Nabi s.a.w.)

Ibuku sayang,
Aku akan menjadi saksi pada segala pengorbananmu. Sabarnya kau menantikan kehadiranku. Saban waktu kau mendoakanku dan mengambil makanan terbaik untuk memastikan kesempurnaan pertumbuhanku. Aku berasa sungguh terbelai dengan doa-doamu duhai ibu.

Pagi itu,
kudapat rasakan kau menekan perutmu yang memulas-mulas. Kutahu, sakit yang kau tanggung amat perit. Wajahmu diselubungi kerisauan kerana diriku yang kau kandung sudah 2 hari kurang bergerak. Saat itu, aku berusia 7 bulan dalam kandungan. Ibuku, Tekun kau meyemak semula fetal kick chart yang selalu kau bawa sejak usiaku 6 bulan dalam kandungan lagi. Kau menatap sukar catatan semalam, hanya 3 gerakan dalam masa 12 jam. Lebih membimbangkan dirimu apabila hari ni, masih belum ada gerakan yang dicatat.

Kumengerti duhai ibu,
Diriku yang kau kandung ini amat bernilai bagimu dan ayahku kerana akulah kandunganmu yang pertama setelah 3 tahun usia perkahwinanmu. Pelbagai usaha kau lakukan untuk mendapatkan zuriat. Aku hargai niatmu tulus untuk meramaikan umat Islam di atas muka bumi ini kerana Rasulullah s.a.w berbangga dengan jumlah umatnya di hari akhirat.

Melihat kegigihanmu dalam mendapatkanku, aku berasa hairan dengan kebanyakan manusia pada hari ini yang menggunakan pelbagai alat pencegah kehamilan. Lebih malang lagi, ada yang sanggup melakukan dosa besar dengan menggugurkan kandungan mereka dengan pelbagai alasan seperti terlanjur, anak kecil masih menyusu, belum bersedia dan sebagainya.


Ibuku,
Tiba saat itu, kau melihat ada cecair yang deras mengalir dan membasahi kain batikmu. Cecair tersebut amat jernih dan tidak berbau, bercampur sedikit tompokan darah.

“Masya-Allah, air ketuban dah pecah,” ujarmu dengan wajah panik, lantas menelefon ayahku di pejabat.

Alhamdulillah, pejabat ayahku tidak jauh dan hanya mengambil masa 20 minit untuk tiba di rumah.

Ibuku,
Dalam derita menahan sakit, ada sedikit keceriaan dan harapan pada wajahmu pada saat kau dibawa ke dewan bersalin, Hospital Selayang. Sampai sahaja di bilik pemeriksaan, didapati seorang doktor lelaki cina dan seorang jururawat melayu akan membuat pemeriksaan ke atasmu.

Aku tahu, wanita yang baik sepertimu duhai ibu seboleh-bolehnya tidak mahu auratmu dilihat oleh lelaki ajnabi melainkan tiada pilihan dan dalam keadaan terdesak. Ibuku, Kau membuat permohonan agar diperiksa dan dirawat oleh seorang doktor muslimah. Aku kagum melihatmu tegas dan faham dengan prioriti, sekiranya tiada, kau inginkan seorang doktor lelaki yang muslim, kemudian doktor perempuan non-muslim.

Alhamdulillah, pihak hospital faham dengan pendirianmu. Seorang doktor muslimah datang membuat pemeriksaan terhadapmu. Pertuturannya sangat lembut dan menyenangkan hati. Setiap perlakuannya dimulakan dengan bismillah. Saat itu, aku berasa sudah tidak sabar lagi lahir menjadi permata hatimu, wahai ibu, disambut oleh seorang doktor muslimah yang solehah.

Kemudian ibuku,
kau didatangi oleh seorang doktor pediatrik, memberi penjelasan tentang aku yang bakal kau lahirkan nanti mungkin akan menghadapi pelbagai masalah yang serius kerana belum matang. Ibuku, lidahmu tidak putus-putus berdoa menagih secebis belas dan harapan dari Allah s.w.t. Aku tahu kau sanggup korbankan nyawamu asalkan diriku selamat.

Masa yang berlalu dirasakan amat perlahan. Sengsaramu ibu tidak terperi lagi. Kau bertarung nyawa untuk melahirkanku. Kau ubati penderitaanmu dengan khabar dari Rasulullah s.a.w. tentang pahala ibu bersalin umpama 70 orang mati syahid. Setelah 5 jam menahan derita di dalam bilik bersalin, akhirnya deritamu berakhir apabila berjaya melahirkanku.

Kau belum sempat melihat jantinanya. Tangisanku pun tidak kedengaran. Aku dengan segera dibawa ke Neonatal Intesive Care oleh seorang doktor pediatrik. Dalam keletihan, kau tidak putus-putus berdoa moga Allah memberi yang terbaik kepadaku.

Tidak lama selepas itu, doktor pediatrik tadi berjumpa denganmu memberitahu bahawa aku tidak dapat diselamatkan lagi kerana mengidapi penyakit syndromic yang amat serius dengan kegagalan organ-organ dalaman. Tambahan pula usiaku belum matang. Dalam pasrah, kau mengangis tak henti-henti.

Kalau aku berdaya, mahu sahaja aku sapu air matamu. Mujurlah ayahku memahami. Dialah yang banyak memberi semangat dan harapan kepadamu. Aku gembira mendengar kata-kata ayah, ujian itu tanda kasih-sayang Allah s.w.t. pada hambanya. Tersenyumlah duhai ibuku. Kan kupinta dari Yang Esa untuk memimpin tanganmu tercinta. Kuhitung hari saban waktu, tidak sabar lagi untuk berjumpa denganmu. Tersenyumlah duhai ibu.

Jangan lupew Follow,komen,like and share ok =)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...