Sabtu, 8 Januari 2011

Cinta Dari Perspektif Syara'

Cinta Dari Perspektif Syara' (Ustaz Haji Abdul Ghani Bin Samsudin, Suara Persatuan Ulama Malaysia)

Terdapat banyak ungkapan berkaitan cinta yang membawa sebahagian atau keseluruhan makna sayang dalam berbagai darjat. Contohnya, kasih, sayang, suka, berahi dan sebagainya yang mempunyai hubung kait dengan perasaan cinta.

Dalam bahasa Arab, ia lumrah disebut dengan perkataan al-Hub (kasih atau cinta), al-mualah (saling setia), dan “al-‘isyq” (pendaman rasa kasih). Perkataan ini membawa makna cinta dalam berbagai darjatnya. Cinta adalah sebahagian daripada naluri atau intuisi yang ada dalam diri manusia yang dibekalkan oleh Allah S.W.T. Ia menjana kecenderungan dalam diri seseorang kepada orang lain yang menyebabkan dia memuja, menyanjung, dan beriltizam untuk membantu, menyanjung, mengambil hati serta membelai perasaan pihak yang dicintai.

"Cinta merujuk kepada perasaan jernih dan bersih yang berputik di hati. Ia menimbulkan suatu bentuk iltizam khusus, dan membawa makna lebih daripada sekadar redha atau puas. Orang mungkin redha dengan seseorang atau sesuatu, tetapi itu tidak bermakna dia mencintai, kasih atau menaruh hati kepadanya.

“Cinta teras kehidupan; ia pencetus rindu, yang mengukuhkan hubungan antara seseorang manusia dengan yang lain; baik manusia atau objek-objek lain. Sekiranya graviti adalah hukum alam yang mengikat antara bulan bintang dan planet .Ia menghalang pelanggaran antara planet-planet tersebut, maka cinta adalah rasa kasih sayang yang menambat dan menautkan hubungan kemanusiaan. Perasaan Cinta inilah yang menghalang mereka daripada bersengketa, dan melakukan pertarungan yang menumpahkan darah.

Menurut pengarang kitab “Mafahim Hadhariah: الحبّ حالة نفسـيّة وعاطفية تنبع من أعماق الانسان لتمنحه السعادة
والهناء ، وربطه بالمحبوب ارتباط الانسجام والرِّضى والتوافق ، حتى يكاد المحبّان أن يتّحدا ، إذا ترسّـخ الحبّ ، وتحوّل إلى شعور باحتواء المحبوب . فيشعر المحبّ ، فيما وراء الوعي أن لا إثنينيّة بينهما . فهما حقيقة واحدة ، وذاتان مندمجان في ذات النفس . والحبّ هو رابطة روحيّة، وإحساس نفسي ، وشعور وجداني يعيش في أعماق النفس ، ويتّخذ أشكالاً شتّى من التعبير ، كالثناء والتقبيل والتحيّة والمصافحة والنصيحة والمعانقة ورفع الأذى ، والهديّة والمصاحبة في السّير والزيارة، والاحتفاظ بالصّورة ، وبتبادل كلمات الود، والعيش في مكان مشترك .

Cinta adalah gejolak jiwa dan emosi yang terpancar dari batin manusia yang menampilkan kepadanya rasa bahagia dan damai. Perasaan ini memadukan seseorang dengan kekasihnya dalam perasaan suka, serasi dan sesuai hingga bertaut . Kalau cinta telah bercambah ia berubah menjadi perasaan mahu bersama dengan kekasih sehingga ia merasa fana dalam kesatuan. Tidak ada lagi perbedaan antara mereka berdua. Cinta adalah ikatan ruh dan hubungan kejiwaaan dan intuisi yang berkobar dalam diri. Ia mengungkapkan diri dalam berbagai bentuk expresi; seperti memuji, mencium, menghurmati, menjabat tangan, memberi nasihat, mendakap, menghindarkan bahaya, memberi hadiah, menemani, menziarahi, menyimpan gambar ingatan, saling menghantar memo kasih hinggalah sampai ke taraf hidup bersama.

“Sebab itu di dalam Islam, cinta amat dititikberatkan dan sangat diberi perhatian,” Di dalam al-Quran, perkataan al-Hubb disebut 88 kali, tetapi hanya sekali yang merujuk kepada cinta antara lelaki dan perempuan, iaitu dalam ayat 30 surah Yusuf;

وَقَالَ نِسْوَةٌ فِي الْمَدِينَةِ امْرَأَةُ الْعَزِيزِ تُرَاوِدُ فَتَاهَا عَن نَّفْسِهِ قَدْ شَغَفَهَا حُبّاً إِنَّا لَنَرَاهَا فِي ضَلاَلٍ مُّبِينٍ

“Dan wanita-wanita di kota berkata: ‘Isteri Al Aziz menggoda teruna (angkat)nya. Dia sudah dilamun cinta berahi. Kami berpendapat beliau terang-terang telah menyimpang.”

Manakala kebanyakan ayat-ayat lain merujuk kepada golongan yang disukai oleh Allah S.W.T atau golongan yang dimurkainya, contohnya dalam surah al-Baqarah: 195 (Allah suka orang-orang yang berbuat baik), al-Imran: 46 (Allah suka orang yang sabar), al-Imran: 159 (Allah suka orang yang bertawakal), at-Taubah: 108 (Allah suka orang yang mengamalkan budaya bersih), as-Saf: 4 (Allah suka orang yang berjuang di jalan-Nya), al-Baqarah: 205 (Allah tidak suka perbuatan orang yang melakukan kerosakan dalam masyarakat), an-Nisaa:107 (Allah tidak suka para pengkhianat yang banyak berbuat dosa), al-Mumtahanah: 8 (Allah suka orang-orang yang adil), dan al-Imran: 31 (… “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu…”)

Perkataan sayang, kasih, yang diulang banyak kali ini membayangkan cinta sememangnya suatu yang penting di dalam Islam. Malah ada ulama berpendapat agama tidak lain adalah cinta atau kasih sayang. Jika tidak ada kasih sayang, seolah-olah tidaklah ada penghayatan agama. “Cinta adalah suatu yang bersifat teras dalam Islam, malah iman itu tidak lain dari sayang, membenci, memberi kerana Allah S.W.T. Agama Islam adalah agama yang berteraskan kepada perasaan cinta dan kasih kerana Allah.” Dalam hubungan ini terdapat banyak hadis Rasulullah saw yang menekankan soal cinta dan kasih sayang. Di dalam sepotong hadis riwayat Muslim dinyatakan,

“Demi Allah yang memakmurkan dunia, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, kamu tidak akan beriman sehinggalah kamu berkasih sayang antara satu sama lain.” Baginda juga bersabda, “Sesiapa yang sayang kerana Allah, benci kerana Allah, memberi kerana Allah, dan menahan kerana Allah, maka telah sempurna imannya.”

Rasulullah saw turut mengajarkan doa, “Ya Allah, kurniakanlah kepadaku rasa sayang dan kasih kepada-Mu, dan rasa kasih sayang kepada orang yang sayang kepada-Mu, dan jadikanlah kasih sayang kepada-Mu itu lebih aku sukai daripada air yang dingin.”

Cinta di tahap kedua disebut al-Hub al-ausat atau cinta tahap pertengahan yang berkaitan dengan individu, keluarga, masyarakat dan sebagainya. Gerak hati dan perasaan manusia yang merasakan dirinya terpikat kepada orang lain dengan talian nasab, kekeluargaan, persahabatan dan sebagainya. Cinta seperti ini juga diperlukan dalam masyarakat manusia dan digalakkan oleh Allah S.W.T. Umpamanya mengasihi ibu bapa, isteri, suami, anak-anak, saudara mara dan sesama manusia akan mewujudkan suasana rukun damai dan harmoni. Tanpa cinta dalam martabat ini, tidak mungkin sebuah keluarga akan mendapat kebahagiaan. Akibat dari itu sudah pasti tidak akan ada zuriat yang dapat dilahirkan, dan tidak mungkin kukuh jalinan kemasyarakatan
Tahap cinta ketiga adalah cinta yang bertaraf rendah, negatif, dan memusnahkan manusia atau di sebut al-Hub al Adna. Contohnya cinta dan kasih kepada seorang yang zalim, diktator, atau orang yang menganggap dirinya sebagai tuhan. Dalam surah al-Mumtahanah: 1, Allah berfirman; “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang; padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu….”

Begitu juga kasih sayang, berahi yang menyebabkan seseorang bergelumang dengan maksiat dan kedurjanaan. Mencintai sesama insan atau lain-lain melebihi cinta kepada Allah, rasul dan jihad termasuk dalam kategori cinta bertaraf rendah ini. Ini ditegaskan oleh ayat al-Quran, surah at-Taubah: 24,

“Katakanlah: ‘Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.’ Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.”

Bahkan ada hadis menyatakan, “Tidak akan beriman seorang daripada kamu sehingga aku lebih disayangi dari hartanya, anaknya dan orang lain,”

“Ya Allah kekalkanlah kehidupanku selagi kehidupan itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku selagi mati itu lebih baik bagiku.”

wallahua'lam

Jangan lupew Follow,komen,like and share ok =)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...